Akar umbi PAS mana pula ni?

Written by 

Akar umbi PAS Selangor sebagaimana di negeri-negeri lain bergerak melalui hiraki cawangan-cawangan, kawasan dan negeri selain dewan-dewan ulamak, pemuda dan muslimat.

Akar umbi PAS terdedah pada proses pentarbiyahan dan akur pada adab berjemaah.Mereka tidak mendahului jemaah.

 

Saluran suara akar umbi tidak pernah terkekang malah mereka bebas menyalurkannya melalui pelbagai forum yang ada apatah lagi sekarang musim mesyuarat agung, gelanggang buat ahli-ahli PAS bersuara.

 

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita demo di hadapan Pejabat Agung PAS baru-baru ini yang kononnya mewakili suara akar umbi PAS Selangor.

 

Akar umbi PAS Selangor mana pula yang perlu bersuara melalui kaedah sebegini?

 

Mereka yang kononnya mewakili suara orang PAS Selangor itu mendesak PAS putuskan hubungan dengan PKR.

 

Saya mahu juga melihat cawangan atau kawasan mana PAS Selangor yang perlu melangkau kepala pimpinan mereka di cawangan, kawasan dan negeri untuk membawa desakkan luar biasa ini.

 

Bila lihat dan membaca laporan Malaysiakini:

 

"Kami agak kurang selesa dengan PKR kini. Kebencian telah mulai dirasai," kata Nasiruddin Mohamed yang mengetuai penyerahan memorandun di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

 

Saya mengesani sesuatu yang janggal.

 

Bila masa Nasiruddin Mohamed yang saya kenal ini mewakili suara akar umbi PAS?

 

Dia yang saya kenal adalah bekas ahli PKR dan tidak memegang keahlian PAS pun!

 

Pimpinan tertinggi PAS sudah pun menyatakan sikap PAS terhadap PKR. Nanti akan diputuskan Muktamar dan Majlis Syura yang saya yakin akan ambil kira semua faktor khasnya situasi di Selangor serta pandangan para pimpinan, EXCO dan Adunnya di Selangor.

 

Saya yakin dan percaya PAS Selangor mampu dan bertenaga menguruskan rumahtangganya dan tidak perlulah mana-mana pihak ambil kesempatan.

 

Tak perlulah sampai berbohong mendakwa diri suara akar umbi PAS sedang ahli pun tidak!

 

Akar umbi PAS istiqamah dengan perjuangan dan wala' pada pimpinan .... politik jalanan dan budaya desak mendesak begini bukan budaya kami yang menjunjung politik matang dan sejahtera.

 

Read 118 times Last modified on Monday, 27 February 2017 14:15