Siapakah yang Dikafirkan oleh PAS?

Written by  Syed Ahmad Fadhli

1. Hairan lagi pelik apabila Dr MAZA berterusan mendendangkan kisah lama "Amanat Haji Hadi" sebagai dalihnya dalam menyatakan pendirian mengenai pindaan Akta 355.Dalam artikel terbarunya di FB semalam, Dr MAZA menyebut mengenai PAS mengkafirkan pihak yang berbeza dengannya. Benarkah tuduhan itu?

2. Budaya Takfiri itu sememangnya salah tetapi, budaya menuduh orang lain mengkafirkan dirinya juga adalah salah. Sungguh berat tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh seorang Mufti terhadap PAS.


3. Melemparkan tuduhan sememangnya mudah, datangkanlah bukti atas tuduhan itu barulah orang awam boleh menilai kesahihannya.
Sepanjang keterlibatan saya dengan PAS semenjak di alam universiti sehinggalah sekarang, tidak ada langsung kami dididik dan ditarbiah untuk "mengkafirkan" mereka yang tidak bersetuju dengan PAS.
Dalam siri Usrah, Liqa Fikri, Tamrin, Mesyuarat sehinggalah ke Muktamar Tahunan PAS, tidak ada pula saya dengar ucapan pimpinan "mengkafirkan" orang lain yang berbeza dengan PAS. 

4. Dalam artikel Dr MAZA yang bertajuk "RUU 355: Pro dan Kontra", dia menyebut bahawa usul pindaan Akta 355 itu telah dimainkan secara politik oleh PAS. 
"Parti politik berkenaan juga selama ini memperkatakan isu hudud sejak sekian lama terutama menjelang pilihanraya. Hasil dari isu hudud yang pernah dimainkan sejak dahulu pelbagai peristiwa permusuhan antara umat Islam telah berlaku. 
Berlakunya kafir-mengkafir sejak sekian lama, dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat."

Isu ini amat berkait rapat dengan "Amanat Haji Hadi" pada tahun 1981. Ianya adalah modal yang digunakan UMNO sejak sekian lama bagi menyatakan mereka menjadi mangsa yang telah dikafirkan oleh PAS.
Modal ini sudah tidak lagi digunapakai oleh UMNO namun, setelah 36 tahun, Dr MAZA pula yang menggunakan modal lapuk ini bagi menyerang PAS. 

5. Tuan Guru Presiden PAS ada menulis sebuah buku setebal 74 muka surat yang bertajuk "Amanat Haji Hadi: Antara Fitnah dan Fakta" bagi memperjelaskan isu takfiri ini. Ia sudah diterbitkan 2 kali iaitu pada tahun 2002 dan edisi kemaskini pada tahun 2013.
Antara yang disebut di dalam buku itu ialah;

a) PAS adalah parti Islam yang berjuang untuk menyelamatkan aqidah umat Islam, maka berkewajipanlah ia menyatakan batas-batas Iman dan kufur secara ilmu, dengan adab-adab berdakwah yang diwajibkan kepada ahlinya di seluruh negara.
b) PAS tetap beristiqamah dalam perkara ini tanpa menuduh sesiapa secara khusus, samada individu atau golongan tertentu. Sepatutnya semua pihak termasuk UMNO berterima kasih dalam perkara ini kerana PAS telah mencetuskan kesedaran aqidah terhadap semua pihak termasuk UMNO yang jahil dalam perkara ini.
c) Tindakan keterlaluan oleh segelintir pelampau PAS dalam perkara yang menyebabkan mereka disingkirkan daripada PAS atau mereka melarikan daripada PAS. Yang anehnya ada dikalangan mereka yang keras dalam menghukum orang lain kafir kini menyertai UMNO, menjilat semula ludah mereka sendiri dengan tidak bersopan, dan menjadikan mereka sebagai barang buangan yang dikitar semula untuk menjadi alat. Adakah mereka sebelum ini sengaja diletakkan di dalam PAS untuk tujuan provokasi. Alhamdulillah, PAS telah dibersihkan daripada anasir tidak sihat ini.

6. Tanpa menafikan, dulu sememangnya wujud segelintir di dalam PAS yang bertindak ekstrem dan melampau terhadap UMNO. Namun, seperti yang telah diperjelaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, kelompok pelampau ini sudah pun tersingkir daripada PAS. Bahkan, mereka inilah yang dulunya begitu keras dengan UMNO, telah keluar daripada PAS dan masuk ke dalam UMNO. 
Jelas,tindakan pelampau ini bukanlah pendirian PAS. 
Kebiasaannya dalam mana-mana organisasi pun, akan ada segelintir yang bertindak melampau itu atas kapasiti peribadinya dan tidaklah mewakili pendirian sebenar organisasi tersebut.

7. Harapnya Dr MAZA berhentilah memutar dan mengitar semula modal lama ini bagi menyerang PAS melainkan dia boleh mendatangkan bukti masih berlaku dalam PAS sekarang sepertimana yang didakwanya iaitu budaya mengkafirkan orang lain, solat dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat 

Semoga Dr MAZA tidak mengikut rentak pemimpin PAN yang sering menjaja dalam road show ceramah di sana-sini, kononnya mereka yang menubuhkan PAN ini telah dikafirkan oleh PAS. 
Kasihan sungguh, sanggup berpura-pura menjadi mangsa atas pertuduhan yang direkayasa oleh mereka sendiri.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli 
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS 

16 Februari 2017
 
Read 143 times Last modified on Thursday, 16 February 2017 18:37