Pembasmian rasuah: Peringatan kepada kerajaan

Written by  Tuan Ibrahim Tuan Man
Baru lima hari yang lalu, Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan bangganya menegaskan bahawa Umno tidak mengamalkan rasuah (video: https://www.youtube.com/watch?v=ZbJyyvpANN8) sebagai menjawab amaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk lebih berhati-hati.
 
Ramai yang menonton video tersebut sekadar mampu bergelak.
 
Nampaknya gelak itu berasas apabila SPRM membuka satu kertas siasatan terhadap Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang menggoyahkan kenyataan Tengku Adnan.
 
Annuar yang juga ahli parlimen Ketereh yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa serta-merta semalam bakal disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa di MARA.
 
Namun begitu, PAS ingin mengingatkan kerajaan bahawa prestasi membasmi rasuah bukan diukur melalui jumlah tangkapan yang dibuat SPRM tapi melalui jumlah pensabitan oleh Jabatan Peguam Negara. SPRM hanya mempunyai kuasa melakukan siasatan, bahagian pendakwaan adalah di luar kuasa mereka.
 
Kegagalan untuk mensabitkan kesalahan di dalam kes PKFZ, kes NFC, kes bekas CEO Kumpulan Sime Darby dan kegagalan bertindak terhadap SRC International serta 1MDB masih menjadi titik hitam kepada prestasi pembasmian rasuah negara.
 
Tidak hairanlah mengapa rakyat akan terus meragui kesungguhan kerajaan dalam membasmi rasuah.
 
Tangkapan-tangkapan pegawai kerajaan berpangkat tinggi oleh SPRM hanya akan berakhir dengan gelaran “wayang” oleh rakyat jika kebanyakannya berakhir seperti kes Kasitah Gaddam dan juga Skandal Jabatan Air Sabah yang dikategorikan SPRM sebagai kes tanpa unsur rasuah dan di luar bidang kuasa SPRM selepas kes itu menggegarkan media dengan rampasan berjuta wang ringgit.
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Read 136 times