3 faktor mempengaruhi hidup

Written by  Nik Kamal

Suatu hari, di sebuah kedai buku, saya ternampak seorang remaja perempuan sedang membelek-belek buku di rak buku agama dan motivasi. Tiba-tiba, datang seorang remaja lelaki dipercayai kawan beliau mengusiknya, “Eh, sejak bila kau nak jadi ustazah ni? Tak pernah aku tengok kau baca buku ni…hahaha.” Gelak si remaja lelaki tersebut kepadanya. Lantas beliau cepat-cepat letak balik buku tersebut seraya ketawa dan terus berlalu meninggalkan rak buku tersebut.

 

Saya terkedu melihat situasi tersebut. Simpati terhadap remaja perempuan itu kerana mungkin beliau ingin mengambil manfaat daripada buku yang dipegangnya. Namun, selepas diejek oleh kawannya, terasa malu dengan perbuatannya yang tidak patut malu itu. Jika difikirkan, kenapa jadi begitu?

 

Ya, ini kerana mempunyai kawan yang tidak membantu ke arah kebaikan. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya kita memilih siapa orang yang sepatutnya berada di sekeliling kita. Jika kita mahukan perubahan yang bagus dalam hidup, berhati-hati dengan 3 faktor ini yang akan mempengaruhi sejauh mana kita boleh menjamin masa depan yang baik:

 

1 – Siapa orang di sekeliling kita?

Percayalah bahawa seorang perokok tegar tidak akan dapat berubah untuk tidak merokok lagi jika beliau masih dikelilingi oleh kawan-kawan yang merokok. Begitu juga jika seorang pekerja mahu bekerja dengan penuh semangat dan bermotivasi tidak akan berjaya jika beliau selalu dikelilingi orang-orang yang lemah dan sering culas dalam bekerja. Itu antara contoh bagaimana orang di sekeliling begitu mempengaruhi kehidupan kita.

 

2 – Rancangan televisyen apa yang selalu kita tonton?

Kajian menyatakan bahawa secara tersirat penonton yang menonton televisyen secara berterusan berpotensi mendapat kesan kognitif, afektif dan tingkahlaku yang berbeza dengan mereka yang menonton televisyen dalam masa yang dipecah-pecahkan. Ini menunjukkan bahawa bagusnya jika seseorang itu selalu menonton rancangan yang positif kerana ia bakal mempositifkan tingkahlakunya. Begitu jugalah sebaliknya iaitu amat malang bagi mereka yang selalu menonton rancangan yang negatif seperti berunsurkan keganasan, seks, hantu dan lain-lain.

 

3 – Bahan bacaan apa yang selalu dibaca?

Kata pepatah Inggeris, ‘Read, and you will conquer the world’ dan juga ‘You are what you read’. Kajian menunjukkan di negara maju, sebanyak 83% rakyatnya membaca buku dan 7% membaca akhbar. Manakala di negara kita, sebanyak 7% membaca buku dan 83% membaca akhbar. Apa beza baca buku dan baca akhbar? Baca buku menunjukkan seseorang itu begitu prihatin untuk menambah nilai terhadap dirinya manakala membaca akhbar menunjukkan seseorang itu lebih suka mengambil tahu hal orang lain sehingga mungkin terlupa untuk memajukan diri sendiri. Ya, tidak semua berfikiran begitu tetapi majoritinya begitu. Mungkin itu salah satu sebab susahnya negara kita untuk berdiri sebaris dengan negara-negara maju yang lain.

 

Sebagai kesimpulannya, berhati-hati dengan 3 faktor yang telah disebutkan. Buatlah pilihan yang terbaik. Pilihan di tangan kita dan jangan biarkan masa depan kita ditentukan oleh orang lain.

Read 146 times Last modified on Monday, 16 January 2017 12:32