Jadi Kaya Tanpa Merokok

Written by  Nik Kamal

Tidak sedikit rakyat negara Malaysia ini yang merokok. Sebahagian besarnya ialah orang lelaki yang memegang amanah sebagai ketua keluarga atau bakal ketua keluarga nanti. Di dalam suasana himpitan ekonomi yang menekan ketika ini, ramai di kalangan mereka yang bersungut tidak cukup wang untuk menyara keluarga dan isi rumah. Sedangkan dalam masa yang sama, mereka sedang membazirkan wang melalui merokok!

Jika dikaji dan dibuat sedikit pengiraan ringkas, seseorang itu boleh menjadi kaya tanpa merokok. Bagaimana? Artikel kali ini mahu memaparkan analisis betapa bagusnya jika duit hasil beli rokok itu dapat disimpan atau digunakan kepada perkara yang bermanfaat. Sudah tentu kita semua setuju bahawa merokok itu langsung tidak mendatangkan faedah bukan? Bahkan, tanyalah kepada perokok di luar sana. Mereka juga tentu bersetuju cuma sedang berusaha menjauhinya.

 

Merujuk kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, harga meniminum sekotak rokok ialah RM 9. Bayangkan jika seseorang itu perlu sekotak rokok sehari. Maka, beliau perlu membazirkan wang sebanyak RM 270 dalam masa sebulan. Bagaimana pula jika setahun? Dan bagaimana pula jika beliau telah merokok dalam masa 20 tahun? Mari kita perhatikan bersama:

 

Harga minimum sekotak rokok = RM 9 (katakan perlu sekotak rokok sehari)

Kos sebulan merokok - RM 9 x 30 = RM 270

Kos setahun merokok – RM 270 x 12 = RM 3240

Kos merokok selama 20 tahun – RM 3240 x 20 = RM 64, 800

 

Ini bermaksud, jika seseorang itu telah menghabiskan usianya selama 20 tahun untuk merokok, beliau telah membazirkan wangnya sebanyak RM 64,800! Itu belum dikira jika merokok lebih daripada 20 tahun. Bayangkan betapa ruginya beliau dan wang sebanyak itu sebenarnya sudah cukup untuk membeli sebuah kereta perodua Alza secara tunai. Itu belum lagi jika dilaburkan ke dalam instrumen kewangan yang ada dalam negara kita. Ia boleh mengembang-biakkan lagi wang tersebut.

 

Inilah yang membawa maksud seseorang itu boleh menjadi kaya tanpa merokok sekaligus membebaskan diri dari hutang yang tidak sepatutnya. Tentu juga tidak lagi beralasan tidak cukup duit untuk menyara keluarga. Oleh itu, diseru kepada semua perokok di luar sana tidak kira latar belakang kehidupan bagaimana, sama-sama kita menjauhi daripada tabiat merokok. Mudah-mudahan kehidupan kita akan lebih bahagia baik dari segi kesihatan mahupun dari segi ekonomi.

Read 104 times Last modified on Thursday, 15 December 2016 20:09