Ketika artikel ini ditulis, Malaysia sedang hangat dengan viralnya isu aplikasi permainan digital yang bernama Pokemon Go. Isu ini semakin bertambah darjah kepanasannya apabila disentuh oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah (SS) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau dalam laman web rasminya telah menasihati orang ramai supaya menjauhi permainan ini jika ianya membawa mudarat. Ramai yang menyambut positif kenyataan tersebut dan tidak kurang juga yang berfikiran negatif dengannya.

Bersesuaian dengan tajuk artikel ini, penulis menyokong sepenuhnya apa yang dinyatakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan itu. Hal ini kerana realiti yang berlaku di luar negara begitu membimbangkan kita. Satu klip video yang boleh dicari dalam Youtube bertajuk ‘Pokemon Go Fail!!!’ menunjukkan bagaimana merbahayanya apabila terlalu asyik dengan pemainan ini sehingga menyebabkan ada yang terjatuh ke dalam laut. Mahukah kita melihat hal sedemikian berlaku di dalam negara kita? Sudah tentu tidak bukan?

 

Ketagihan Yang Membawa Kesengsaraan

 

Tidak sedikit tabiat buruk yang jika dicuba sekali, pasti teringin lagi. Apabila dibuat lagi, semakin bertambah keseronokannya sehingga boleh membawa kepada ketagihan. Antaranya seperti berikut:

 

1 – Hisap rokok atau dadah

2 – Ketagihan bahan lucah sama ada menonton atau melakukannya

3 – Minum minuman berkafein

4 – Ketagihan arak

 

Apabila sudah sampai ke peringkat ketagihan, penagih tersebut akan terasa betapa sukarnya untuk membuang tabiat buruk itu. Ia memerlukan mujahadah yang besar dan berterusan untuk melarikan diri daripadanya. Apabila kita merasakan bahawa susah untuk berlepas diri dari aktiviti yang tidak berfaedah bahkan membawa kepada kemudaratan, di situlah tandanya kita dalam bahaya penyakit ketagihan. Melihat kepada tingkahkahlaku pemain aplikasi permainan digital seperti Pokemon Go itu, ternyata ia juga termasuk sama di dalam kategori penyakit ini.

 

Jangan Sesekali Berani Mencuba

 

Oleh itu, berusaha untuk tidak sesekali mencubanya ialah tindakan yang terbaik. Kita terus tutup pintu dengan tidak memberi peluang kepada diri untuk mencubanya seperti mana kaedah Usul Fiqh iaitu ‘Sadd al-Dzariah’ (menutup pintu-pintu menuju kerosakan). Juga bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat atau cegah sebelum parah. Sama-sama kita mengingati firman Allah yang bermaksud, “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah:195) dan juga hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Janganlah seseorang itu melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan itu kepada orang lain.” (Riwayat Ahmad)

 

Bil

Tips Cegah Ketagihan Tabiat Buruk Sebelum Parah

1

Banyakkan beristighfar dan menghampirkan diri kepada Allah

2

Buang segala punca yang boleh mengakibatkan ketagihan itu berlaku

3

Jangan menyendiri atau tidak bersosial

4

Sibukkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat

5

Banyakkan bersenam atau bersukan

6

Berkawan dengan orang-orang yang baik

7

Tidak melayan perasaan seperti teringat-ingat tabiat buruk tersebut

8

Bina matlamat hidup dengan jelas

9

Sentiasa merasakan di bawah pengawasan Allah dan para malaikatnya

10

Banyakkan berdoa memohon pertolongan Allah

Read 192 times Last modified on Thursday, 15 December 2016 20:05