Kenapa Ibu Bapa Wajib Dikasihi?

Written by 

Melihat dari kaca mata Islam, perlunya kita sayang dan berbuat baik kepada ibu-bapa sehingga kita diarahkan oleh Allah berbuat demikian melalui firmanNya yang bermaksud

“Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Luqman 14:31)

 

Namun, malangnya masih ada dalam masyarakat kita yang tidak memberikan kasih sayang secukupnya kepada kedua ibu bapa mereka. Sehinggakan ada yang tergamak dengan tidak mempedulikan kehidupan kedua orang tuanya apabila mereka telah dewasa. Jauh sekali beza dengan layanan yang mereka perolehi sewaktu kecil oleh ibu bapa mereka itu.

 

Peristiwa pada hari raya Aidilfitri yang lepas, kita digemparkan dengan viralnya peristiwa seorang ayah yang kesedihan sehingga meminta Allah mencabut nyawanya kerana sudah lama anaknya yang seramai 8 orang itu tidak pulang ke rumah. Peristiwa ini dikongsikan oleh saudara Aznan Abdul Latif yang menyertai program ‘Sekampit Beras’ anjuran Pemuda ISMA Melaka sempena bulan Ramadhan baru-baru ini.

 

Saya sendiri pernah berpangalaman melihat seorang ibu yang dibiarkan menguruskan dirinya yang sakit terlantar di hospital. Tanpa ada walau seorang pun anak yang datang menjaganya. Saya menyaksikan sendiri beliau berlinangan air mata menelefon anaknya bertanya bila mahu datang menjaganya.

 

Kisah-kisah benar yang berlaku dalam masyarakat seperti ini cukup membuatkan kita sebak di dada memikirkan bagaimana mungkin ada insan yang sanggup memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa. Lalu tidak hairanlah kenapa dikatakan kiamat semakin hampir di zaman kita ini apabila munculnya petanda ‘wanita yang melahirkan tuannya’ sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

 

Dalamnya Kasih Seorang Ibu

 

Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh Ustaz Roslan Mohamad, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Sebuah kisah pengalaman yang dialami oleh beliau sendiri.Beliau dijemput menyampaikan tazkirah Ramadhan di sebuah rumah kebajikan orang tua sebelum berbuka puasa.
Audiennya terdiri daripada orang-orang tua yang sebahagian besarnya ditinggalkan oleh anak mereka di situ.

 

Sewaktu berbuka, beliau duduk semeja dengan ibu-ibu tersebut untuk berbuka bersama-sama.. Apabila azan Maghrib berkumandang dan selepas membaca doa, mereka mula berbuka puasa. Ketika itu, beliau terlihat ada seorang ibu yang duduk berhampiran dengannya yang belum berbuka.

 

Hanya diam tidak berkata apa-apa. Lantas beliau menegur ibu tersebut, “Makcik, kenapa belum berbuka lagi? Cepat makcik. Sunat kita menyegerakan berbuka ini.”

 

Lalu makcik itu bersuara, “Ustaz, saya teringatkan anak saya. Apakah yang mereka makan untuk berbuka hari ini? Saya rasa tak lalu ustaz.” Demikian kata ibu tersebut. Kelihatan air mata ibu itu mula bercucuran.

 

Ustaz Roslan beritahu kami bahawa beliau juga tidak dapat menahan diri dari rasa sebak dengan apa yang dikatakan oleh ibu tersebut. Betapa tebal dan dalam kasihnya kepada anak-anaknya sehingga tidak kisah walau ditinggalkan oleh anak-anak mereka di rumah kebajikan orang tua tersebut.

 

Oleh itu, sama-sama kita mengambil berat kedua ibu bapa kita yang kasih sayangnya memang tidak berbelah bahagi sedari kecil lagi kepada kita.

Read 169 times