Tidak sedikit kita mendengar kes jenayah yang berlaku khususnya kepada kaum perempuan tatkala mereka berjalan keseorangan. Merujuk kepada akhbar Utusan Malaysia, pernah dilaporkan seorang pelajar tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan telah cedera dilutut akibat terjatuh sebelum beg tangannya diragut penjenayah. Hal ini kerana beliau berjalan melalui lorong sunyi yang sememangnya terdedah kepada bahaya.

Berbeza dengan lelaki. Risiko berseorangan ini mungkin jarang kita dengar yang melibatkan kes ragut sebagaimana yang terjadi kepada perempuan. Sepanjang pengalaman mengendalikan program motivasi untuk remaja, penulis mendapati risiko lelaki khususnya golongan remaja ini ketika mereka duduk keseorangan ialah kelemahan di dalam menjaga pandangan mata dari melihat hal yang tidak sepatutnya. Ia semakin parah jika ada bersama mereka gadjet yang boleh diakses Internet.

 

Kambing Yang Mudah Diterkam Serigala

 

Pernahkah anda menonton rancangan National Geographic? Jika pernah, pasti anda pernah menonton aksi bagaimana mudahnya serigala menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Selagi kambing itu berada di dalam kumpulan, serigala tidak berani menyerang kerana kambing-kambing lain mungkin akan bantu mempertahankan diri antara satu sama lain. Tidak mustahil serigala itu pula akan ditanduk dan diterajang oleh kambing-kambing itu secara beramai-ramai.

 

Begitulah juga manusia. Apabila kita berada di dalam perkumpulan orang yang baik-baik atau berjemaah ini, In syaa Allah syaitan yang diumpamakan seperti serigala tadi susah untuk menggoda kita kepada kejahatan. Hal ini kerana pastinya rakan-rakan kita akan menegur tatkala terlihat kita cuba untuk buat maksiat. Sebaliknya, bila kita duduk berseorangan, sukar sekali untuk kita menepis hasutan syaitan kerana tiada orang melihat. Tambahan pula apabila tidak rasa Allah sedang melihat perbuatan itu. 

 

Inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud “Rahmat Allah berada bersama-sama dengan jemaah dan sesungguhnya serigala hanya akan memakan kambing yang menyendirikan diri” (Riwayat Tabarani). Dalam kes pelajar perempuan dari USIM itu juga, bayangkan jika beliau berjalan di dalam kumpulan yang ramai, sudah tentu penjenayah akan berfikir banyak kali untuk meragutnya.

 

Kelebihan Berjemaah

 

Selain diri kita terjaga dari ancaman manusia, hasutan syaitan dan hawa nafsu, dengan berjemaah juga membolehkan kita bekerja atau belajar dengan lebih teratur dan tersusun. Kita boleh membahagi-bahagikan tugas sekaligus mempercepatkan kejayaan di dalam mencapai sesuatu matlamat. Bila dalam kesukaran ketika belajar, kita boleh minta bantuan rakan sejemaah kita. Ini membuktikan berjemaah itu lebih baik dari berseorangan.

 

Maka tidak hairanlah kenapa Allah menyediakan keistimewaan yang banyak kepada orang yang menunaikan solat secara berjemaah berbanding solat secara bersendirian. Bahkan Nabi SAW sendiri ingin membakar rumah orang yang tidak hadir solat berjemaah. Di sebalik falsafah solat berjemaah itu, ia menunjukkan bahawa hidup secara berjemaah ini dituntut ke atas kita dan ruginya orang yang lebih suka bersendirian di dalam hidupnya.

Read 173 times Last modified on Wednesday, 23 November 2016 16:27