Indah Di Hadapan Allah

Written by  Nik Kamal

Situasi 1

“Ustaz, boleh tak ustaz tolong beritahu peserta lelaki berbaju merah itu. Bajunya kecil sangat. Seluar pun ketat. Maaf ustaz sebab masa dia duduk depan kami tadi, kami rasa terganggu apabila seluarnya itu macam dah nak terlondeh dan hampir nampak aib di belakangnya.” Kata seorang wakil peserta perempuan di dalam sebuah program kem kepimpinan remaja. Beliau memaklumkan kepada Ustaz Yaakub yang menjadi fasilitator mereka secara personal selepas tamat slot pertama program tersebut.

 

Situasi 2

 

“Adik, maafkan abang kerana terpaksa memberitahu hal ini. Tadi semasa adik sujud dalam solat Zohor, abang dapati seluar adik tertarik ke bawah. Baju adik pula tidak sampai untuk menutup bahagian atas punggung adik. Abang syorkan adik pakai seluar atau baju yang besar sikit, atau adik pakai baju dan masukkan dalam seluar. Ia untuk tutup bahagian belakang punggung adik tersebut.” Nasihat seorang ahli jemaah Masjid Kota Lama kepada seorang remaja lelaki selepas mereka tamat solat Zohor berjemaah.

 

Itulah situasi yang biasa terjadi kepada remaja lelaki yang mungkin terlepas pandang tentang kesesuaian pakaiannya. Penulis ketika mengendalikan program latihan dan motivasi juga kerap kali berhadapan dengan situasi ini khususnya jika pesertanya terdiri daripada golongan remaja. Mujurlah setelah ditegur, remaja tersebut segera membetulkan pakaiannya dan ada yang minta izin untuk tukar pakaian lain.

 

Bagaimana kita di hadapan Allah?

Bayangkan jika pada suatu hari, kita telah dijemput untuk menghadap raja bagi menerima suatu anugerah istimewa. Apakah pakaian yang akan kita pakai? Sudah tentu kita akan memilih pakaian terbaik yang kita ada bukan? Jika tiada pakaian terbaik pun, sebahagian kita mungkin sanggup mengeluarkan duit untuk membeli pakaian baru demi memastikan dilihat bagus di hadapan raja. Apatah lagi bila perlu mematuhi etika protokolnya.

 

Bagaimana pula ketika mahu menghadap Allah, raja segala raja? Secara logiknya pastilah semakin hebat persiapan pakaian kita sepatutnya dilakukan bukan? Tambahan pula, kita tentu tahu yang solat 5 waktu itu ialah satu anugerah yang sebenarnya lebih istimewa dari segala anugerah yang ada di dunia ini. Begitu pemurahnya Raja segala raja ini apabila telah menetapkan 5 kali sehari untuk para hambaNya memperolehinya dengan menghadapNya. Jadi, bagaimana harusnya perasaan kita? Mesti teruja bukan?

 

Oleh itu, sama-sama kita tanamkan rasa pentingnya menjaga etika pakaian kita ketika menghadap Allah melalui solat. Selain menutup aurat, ianya sesuai dan indah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid.” (Surah Al-A’raf 31:7).

 

Bil

Pelan Tindakan Berpakaian Ketika Menghadap Allah

(/)

1

Tiada lambang syirik atau gambar yang tidak senonoh

 

2

Tidak terlalu ketat atau jarang

 

3

Tidak terlalu nipis sehingga nampak bentuk tubuh

 

4

Tiada unsur provokasi yang boleh mengganggu orang lain

 

5

Tidak meniru jantina yang berlainan

 

 

 

 

 

Read 211 times Last modified on Friday, 28 October 2016 19:37