Musuh Nombor 1 Negara

Written by  Nik Kamal

Kenapa ia musuh nombor satu negara? Kerana ia berupaya ‘membiakkan’ kebanyakan jenayah lain yang melanda negara kita seperti mencuri, merompak, keretakan rumah tangga, pergaduhan, membunuh dan banyak lagi.

Menukar manusia daripada seorang yang santun menjadi ganas, amanah menjadi khianat, bercakap benar menjadi penipu, berjimat menjadi pembazir, rajin menjadi malas, fokus menjadi tidak keruan dan alim menjadi penjenayah. Itulah najis DADAH, yang memang telah diisytiharkan sebagai musuh nombor 1 oleh kerajaan Malaysia.

 

“Ibu bapa pasti kecewa jika anaknya terjerumus dengan dadah, demikian juga ada anak yang menderita dan tidak mendapat kasih sayang apabila ibu bapanya ditempatkan di penjara akibat dadah dan jenayah.” Ujar Pengarah Penjara Negeri Sabah, Suria Haji Idris. Tambahnya lagi, lebih 50% penghuni penjara yang melakukan jenayah asalnya ialah disebabkan terjebak dengan dadah. Lebih membimbangkan, sebahagian besarnya ialah di kalangan generasi muda.

 

Baru-baru ini kita digemparkan dengan viralnya peristiwa seorang perempuan tua yang bernama Mek Som di Pasir Mas yang telah dikerat kakinya oleh seorang penagih dadah. Beliau berkeras tidak mahu beri wang kepada penagih itu lalu telah diperlakukan dengan cara yang tidak berperikemanusiaan tersebut. Penagih dadah tersebut telah ditangkap dan Mek Som telah keluar dari hospital setelah mendapat rawatan. Namun kesannya memang tidak dapat dihilangkan lagi. Begitulah kesan jenayah ini yang tidak mengenal usia.

 

Punca Terjebak Dengan Dadah

Berikut ialah antara punca besar bagaimana seseorang remaja itu boleh terbabit dalam penyalahgunaan dadah:

 

1 – Pengaruh rakan sebaya. Jarang sekali kita mendengar orang lain seperti seorang ayah yang mengajar anaknya atau seorang guru yang mengajar muridnya untuk menagih dadah. Biasanya rakan sebayalah yang menjadi ikutan remaja itu. Baik kawannya baiklah dia. Buruk kawannya buruklah dia. Nabi SAW menyebut dalam hadis yang bermaksud, “Seseorang itu menurut agama sahabatnya.”(Riwayat Bukhari). Oleh itu, pastikan kita berkawan dengan orang yang baik-baik. Semoga kebaikan itu melekat kepada kita.

 

2 – Masa kosong yang membosankan. Masa lapang yang banyak tanpa aktiviti berfaedah boleh menjerumuskan seseorang ke arah berfikir dan melakukan perkara maksiat. Ini antara sebab Zulaikha, permaisuri raja semasa zaman Nabi Yusof  AS mahu menggoda baginda AS. Setelah punya banyak masa terluang di istana selain tertawan dengan ketampanan yang dimiliki baginda AS yang telah dipendam perasaanya sekian lama, Zulaikha merancang dan telah melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Oleh itu, pastikan kita isi masa lapang kita khususnya waktu cuti sekolah dengan perkara yang berfaedah.

 

Cuba Sekali, Pasti Nak Lagi!

 

Pasti kita pernah mendengar atau terbaca trademark seumpama itu untuk iklan makanan ringan, jenama kopi atau kosmetik popular bukan? Begitu juga sebenarnya najis dadah ini. Bahayanya ia  kerana sekali mencuba, susah untuk seseorang itu meninggalkannya.

 

Oleh itu, jangan sesekali kita mahu mencuba dan sebaiknya tidak terlintas langsung dalam fikiran untuk mencubanya. Sebagaimana rokok atau e-rokok yang pernah kolum ini bongkarkan, dadah juga boleh menyebabkan ketagihan yang melampau dan mengakibatkan berakhirnya masa depan seseorang itu. Oleh itu, awas remaja! Sayangi diri jauhi dadah merbahaya!

 

Read 273 times Last modified on Wednesday, 13 July 2016 00:19