Jalani gaya hidup sihat

Written by 

‘You are what you eat’. Begitulah nama sebuah rancangan televisyen di British yang diprogramkan untuk menyampaikan mesej kepada penonton di sana tentang bagaimana tabiat buruk di dalam pemakanan akan membawa kepada masalah kesihatan.

Apabila kesihatan tidak terjaga, keseluruhan hidup seseorang individu itu akan terganggu baik dari segi menjalani kehidupan seharian mahupun di dalam memberikan produktiviti sewaktu bekerja. Jika produktiviti terjejas, akan terhalanglah sesebuah organisasi itu dari maju ke hadapan dan kemerosotan akan mula berlaku.

 

Bagaimana Sebahagian Besar Rakyat Malaysia Menjalani Gaya Hidup?

 

Kita risau kerana hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006 mendapati bahawa amalan gaya hidup masyarakat di negara ini menyebabkan banyak masalah kesihatan yang kronik. Sebagai contoh antara ciri yang boleh mendatangkan risiko penyakit berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya pemakanan yang tidak sihat di mana didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus) daripada masyarakat kita tidak memakan sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus) rakyat tidak menjalankan aktiviti fizikal yang sepatutnya. Selain itu, ciri gaya hidup yang lain seperti merokok, minum arak, kegemukan, buncit juga mendatangkan risiko kesihatan.

 

Jika diteliti hasil kajian ini, ia menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal tidak dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia.

 

Oleh sebab itulah munculnya pesakit jantung, kanser, darah tinggi dan diabetes yang paling banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006 di mana penyakit tersebut datangnya dari faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Itu ialah pada tahun 2006.

 

Bagaimana pula perkembangan terkini gaya hidup masyarakat Malaysia pada tahun 2015 ini? Secara spesifiknya lagi bagaimana pula gaya hidup yang dijalani oleh saudara-saudari yang membaca tulisan ini?

 

Kelebihan Gaya Hidup Yang Sihat

 

Kesihatan merupakan suatu kekayaan. Walau sehebat manapun seseorang individu itu, sihat masih lagi perlu menjadi agenda utama di dalam kehidupannya.

 

Secara umumnya, umur 40 tahun adalah tempoh yang paling ketara pelbagai penyakit dikesan tetapi jika kita menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan sejak dari awal lagi, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil dan merupakan satu cara yang terbaik daripada kita mengubatinya seperti mana kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat.’

 

Ada banyak kelebihan yang akan diperolehi oleh mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat di dalam kehidupan sehariannya. Ia seperti berikut:

1) Membolehkan kita memiliki stamina serta keupayaan yang lebih untuk menikmati

2) Menjadikan kita lebih produktif sama ada di rumah atau di tempat kerja.

3) Membuat kita kelihatan dan berasa lebih baik.

4) Mengurangkan risiko kita mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, serangan jantung,

strok, tekanan darah tinggi dan kanser.

5) Meningkatkan jangka hayat dan status kesihatan kita.

6) Penampilan kita akan lebih menarik dan kita akan rasa lebih selesa.

 

Oleh itu, penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan efektif dan efisyen.

 

 

 

 

Read 247 times Last modified on Wednesday, 04 May 2016 19:53