Betulkan Kompas Hati Kita

Written by  Nik Kamal
Nabi SAW bersabda: Orang yang awal dibicarakan pada hari kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku telah berperang kerana-Mu sehingga syahid." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu."
Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.
 
Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran kerana-Mu." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca Al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan kepadamu." Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.
 
Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya kerana-Mu." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu." Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (Hadis Riwayat Muslim)
 
Hadis di atas menunjukkan peri pentingnya seseorang itu mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah di dalam setiap perbuatannya. Hal ini mesti diperhatikan oleh kita setiap hari dan setiap masa. Jauhi unsur-unsur ini di dalam hati kita:
- Rasa takjub terhadap kebolehan diri sendiri
- Mahu tunjuk hebat kepada orang lain
- Ingin selalu disebut dan dipuji kebolehannya 
- Berasa orang lain jahil dan dialah yang paling pandai
 
Mempunyai niat yang ikhlas akan menyebabkan hati mampu memantulkan cahaya ke atas hati orang lain. Bagaimana menghasilkan niat yang ikhlas? Sama-sama kita beramal dengan doa ini:
 
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali Imraan ayat 8)
 
Dan juga doa ini:
 
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”
 
Hamba Allah memang akan sentiasa diuji keikhlasannya. Apa yang penting ialah kita tidak berputus asa dan cepat-cepat betulkan kembali setiap kesalahan yang dilakukan. Sesungguhnya muqaddimah itulah yang akan menentukan natijahnya. Insyaa Allah sesiapa sahaja berusaha membaiki niatnya akan sabar dan kental dalam menempuh kesukaran di dunia ini.
Read 283 times Last modified on Tuesday, 29 March 2016 19:53