Error
  • JUser: :_load: Unable to load user with ID: 45
11
March

YB Zaidy Pemimpin Berkaliber

Written by 

 

Zaidy Abdul Talib,43 ADUN Taman Templer kini merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani sejak Oktober 2014. Beliau memegang prinsip tidak meminta jawatan namun sentiasa bersedia memikul amanah dan tanggungjawab.
Sebelum menjadi wakil rakyat, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sejak tahun 2011 sehingga 2013. Ketika menjadi Ahli Majlis beliau banyak belajar selok belok pengurusan bersama agensi kerajaan, menyelesaikan masalah serta mendekati rakyat kebanyakan.
Zaidy yang juga merupakan bekas Mahasiswa Universiti Malaya mula meminati politik Islam sejak di zaman kampus lagi. Ketika itu, beliau aktif dalam Persatuan Mahasiswa islam (PMIUM) dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1994. Selepas tamat pengajian, beliau mendaftarkan diri sebagai ahli PAS cawangan Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara.

Perjalanan politik Zaidy bermula dari bawah sebagai anggota Unit Amal dan Petugas IT, seterusnya menjadi Pengarah Jabatan IT Dewan Pemuda PAS Pusat (JITDP) dan Ahli Jawatankuasa Lajnah ICT PAS Pusat (LICTP). Selain itu, beliau pernah menjadi Penolong PAS Cawangan Subang, Ketua Penerangan Pemuda PAS Subang, Exco Dewan Pemuda PAS Selangor, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ketua Dewan Pemuda PAS Selayang, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia dan kini Yang Dipertua PAS Selayang merangkap Bendahari PAS Selangor.


TINGKATKAN KUALITI DIRI


Anak kepada pasangan Abdul Talib Che Harun dan Shakiriah Yaacob ini tekad belajar bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu dan membalas jasa kedua ibu bapanya. Selain berusaha cemerlang dalam bidang akademik, beliau aktif dalam syarahan, hafazan al-Quran, bahas/pidato dan bermain bola sepak di zaman persekolahan.
Mengimbas latar belakang diri, anak kelahiran Pondok Lati, Pasir Mas Kelantan ini bersemangat kental dalam menuntut ilmu di sebalik kesusahan hidup keluarganya. Keluarga Zaidy pernah berpindah ke beberapa estet di Negeri Sembilan dan Pahang, sebelum menetap di Felda Kumai, Bera.
“Di tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, saya dilantik menjadi ketua murid. Tahun paling mencabar di tingkatan 6 aliran sains di SMK Temerloh apabila hanya dua pelajar Melayu perlu bersaing dengan kaum lain.
“Alhamdulillah dengan keputusan cemerlang STPM, cita-cita saya untuk menyambung pengajian di UM tercapai. Namun bidang fizik yang saya pelajari bukanlah mudah.”
“Biarpun jadual kelas padat, namun saya aktif dalam kegiatan kemahasiswaan dalam PMIUM dan sukan bolasepak. Alhamdulillah, saya antara tujuh pelajar Melayu yang diberikan anugerah kepujian kelas ke-2 tinggi dalam bidang fizik,” katanya.


Beliau merupakan pasangan kepada Kasmawati Haron, 43, yang juga bekas Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam PMIUM ini. Beliau pernah menjadi pensyarah kejuruteraan di salah sebuah kolej swasta. Zaidy kemudian menjadi jurutera di sebuah syarikat teknologi avionic, sebelum menyertai syarikat pemasaran dalam pembangunan perisian, sebagai pengurus projek.
Pada 2002, beliau membuka syarikat sendiri yang memfokuskan kepada pembangunan perisian sistem aplikasi. Pada 2008, beliau yang mempunyai Certified NLP (Neuro-Linguistic Programming) Practitioner, NFLP, Amerika Syarikat, bersama beberapa rakan membuka syarikat dalam bidang pembangunan modal insan.
Zaidy berkata, pengalaman dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) banyak mendidik beliau dalam berorganisasi, menjadi pemimpin bersemangat dan berwawasan, serta mengetahui cara berurusan dengan pihak pentadbiran dalam dan luar kampus.
“Nasihat saya kepada mahasiswa, walaupun menjadi aktivis, pelajaran perlu diutamakan. Kampus merupakan gedung ilmu, timbalah sebanyak mungkin ilmu dalam bidang akademik mahupun melalui aktiviti kemahasiswaan.
“Perjalanan hidup kampus dapat memupuk nilai seperti berdisplin, berdikari dan berkeyakinan yang amat mempengaruhi dalam kehidupan,” ujar pemegang Anugerah Presiden Diploma Tasawwur Islam, Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).
Beliau kini menyiapkan tesis sarjana muda syariah di Universiti Islam Negeri, Sultan Sharif Kasim II, Pekan Baru.


HIKMAH BERHEMAH DEKATI MASYARAKAT


“Mencontohi kisah Rasulullah SAW dan sahabatnya, Umar RA yang sentiasa turun padang untuk mengambil tahu hal ehwal rakyat dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar graduan Sarjana Muda (kepujian) Fakulti Sains (Fizik), Universiti Malaya. “Matlamat saya dalam politik adalah mengajak seramai mungkin mendekati Allah SWT. Misi kita berdakwah dan berikan manfaat,” katanya sambil tersenyum.


POLITIK UNTUK BERDAKWAH


“Pada 2013, saya terpaksa menarik diri daripada syarikat kerana memberi fokus kepada politik dan menumpukan persiapan untuk PRU13.”
“Sewaktu bertanding, saya mendekati rakyat sebagai sasaran dakwah. Undi di tangan mereka. Masyarakat kini tersikap terbuka. Jika berceramah, saya lebih suka bercakap isu rakyat dan cara mengatasinya.
Pendekatan secara berhemah dan bersifat inklusif mampu merobohkan kubu pertahanan pihak lawan sejak sekian lama.
Ini terbukti apabila Zaidy sebagai calon Pas diumumkan sebagai Adun Taman Templer selepas kemenangannya dengan majoriti 7,467 undi dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
“Apabila kita dapat penuhi pengharapan dan tunaikan kehendak rakyat, mereka akan mempercayai kita. Sebagai Yang Berhormat (YB), kita bukan dicari tetapi mencari khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan.

Read 886 times Last modified on Friday, 11 March 2016 21:22